Thursday, October 22, 2009

Gaya Bahasa Dalam Komsas

JENIS-JENIS GAYA BAHASA

1. Diksi ialah pemilihan dan penyusunan kata-kata yang indah sehingga membawa pengertian yang mendalam dan tepat penggunaannya. Contoh: Mukanya berisi keriangan.

2. Personifikasi merujuk bahasa yang memberikan sifat manusia kepada sesuatu benda, keadaan atau suasana. Contoh: Pokok kelapa itu melambai-lambai ke arahnya.

3. Metafora pula ialah bahasa kiasan yang tidak menggunakan kata-kata bandingan. Metafora boleh terdiri daripada konsep logik dan abstrak. Contoh: Lautan fikirannya (Lautan bermaksud laut dan banyak ilmu. Fikiran pula hanya ada satu maksud iaitu berfikir atau otak).

4. Simile ialah kiasan yang membandingkan dua benda yang berbeza tetapi ada persamaan. Penggunaan bak, umpama, seperti, bagai dan laksana banyak digunakan dalam ayat jenis ini. Contoh: wajahnya pucat umpama mayat.

5. Hiperbola pula perbandingan yang tidak logik atau melampau. Contoh: matanya berapi-api.

6. Paradoks merujuk pernyataan yang ganjil atau bertentangan tetapi mempunyai maksud yang tepat. Contoh: benci tetapi rindu.

7. Asonansi ialah pengulangan vokal. Contoh: segar angin laut (pengulangan vokal a).

8. Aliterasi ialah pengulangan konsonan. Contoh: segar angin laut. (pengulangan konsonan n)

9. Pengulangan/ repitasi ialah pengulangan perkataan dalam ayat atau rangkap yang sama. Contoh: tenaga pemuda tenaga beerti.

10. Inversi ialah pembalikan susunan kata. Contoh: sihat badan wajah berseri (sepatutnya; badan sihat wajah berseri)

11. Anafora ialah pengulangan kata di depan baris. Contohnya: bila diikat dia jalan, bila dibuka ia berhenti.

12. Responsi ialah pengulangan kata di tengah baris. Contohnya: mencipta rumah tempat berlindung, membina bilik tempat berteduh.

13. Epifora ialah pengulangan kata-kata di akhir baris puisi

14. Simbol/ perlambangan. Contoh: Ombak melambangkan cabaran dalam kehidupan.

15. Sinkof/ sinkope ialah singkatan. Contoh: tak (tidak), ku (aku), mu (kamu).

16. Jenis bahasa iaitu bahasa Arab, bahasa Jawa, bahasa Klasik dan lain-lain.

17. Imej Alam. Contoh: padi, bulan, rumput.

Wednesday, October 21, 2009

KATA MAJMUK

1. Rangkaian dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu

2. Kata majmuk dieja terpisah kecuali kata majmuk yang dianggap mantap.

3. Kata majmuk bertindak sebagai satu unit.

4. Kata majmuk tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur-unsur lain. Contoh perkataan tengah hari. Apabila perkataan 'dan' disisipkan menjadi 'tengah dan hari', maksud asal perkataan tengah hari akan berubah.

5. Kata majmuk yang dianggap mantap dan ditulis secara bercantum;

A. antarabangsa B. tandatangan C. pesuruhjaya D. suruhanjaya E. bumiputera
F. jawatankuasa G. sukarela H. kerjasama I. kakitangan J. setiausaha
K. olahraga L. matahari M. beritahu N. warganegara O. tanggungjawab

Wednesday, October 14, 2009

Masalah Yang Dihadapi Oleh Murid Dalam Mata Pelajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua.

Tajuk Karangan : Masalah Yang Dihadapi Oleh Murid Atau Pelajar Melayu Dalam Mata Pelajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua.

Pendahuluan:
Era globalisasi, k-ekonomi, dan keperluan memanfaatkan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) menuntut penguasaan bahasa Inggeris. Hal yang demikian kerana, penguasaan bahasa Inggeris dapat memudahkan kita berdaya saing di peringkat antarabangsa. Kita mempelajari, dan memberi penekanan serius terhadap penguasaan bahasa Inggeris dalam pendidikan Malaysia, disebabkan bahasa tersebut merupakan medium pencetus teknologi Barat. Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar amat penting, namun seringkali kita mendapati pelajar Melayu menghadapi masalah dalam penguasaan mata pelajaran tersebut sebagai bahasa kedua mereka. Secara umumnya, dalam karangan ini dihuraikan punca pelajar Melayu lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris, dan beberapa langkah mengatasinya.

1) Kata Kunci Soalan : Masalah ...
2) Ayat Tesis : Seringkali, kita dapati pelajar Melayu menghadapi masalah dalam penguasaan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mereka.
3) Jenis Pengenalan :
4) Bentuk Karangan : induktif-deduktif
5) Jumlah Perkataan : 65 perkataan

Isi:
1) Punca
a. Tidak diperaktikkan dalam perbualan harian.
b. Medium pengajaran yang tidak kreatif, dan tidak dikembangkan.
2) Langkah
a. Menanamkan sifat membaca buku dalam bahasa Inggeris sejak dari zaman kanak- kanak.
b. Pengubahsuaian kaedah pengajaran dan pembelajaran (p&p).
c. Membudayakan penggunaan kamus dan menjadikannya tabiat sepanjang hayat bagi membantu menguasai kemahiran membaca dalam bahasa Inggeris.

Contoh Huraian Isi:
Dato' Dr. Zainal Abidin Wahid seorang tokoh veteran pendidikan menyatakan, kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Melayu disebabkan oleh faktor medium pengajaran yang tidak kreatif dan tidak dikembangkan. Mempelajari bahasa berbeza daripada mempelajari subjek Matematik dan Sains. Hal yang demikian kerana, mata pelajaran tersebut bersifat teknikal dan kefahaman. Bahasa memerlukan pengasahan tabiat dan penguasaan secara berterusan. Pelajar yang mempelajari bahasa Inggeris selama sebelas tahun, kebanyakannya masih belum mahir bertutur dalam bahasa Inggeris. Seharusnya, isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris tidak timbul, jika sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa betul. Pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris jika pendekatan dan kaedah digunakan berkesan.

Punca Kepanasan Melampau

Tajuk: Punca Kepanasan Melampau

Kini, suhu dunia semakin panas. Kita dapat merasakan bahang kepanasan suhu dunia seawal jam lapan pagi dan semakin dirasai menjelang tengah hari. Jika dahulu, manusia mampu bertahan bekerja di bawah sinaran terik matahari dalam tempoh yang lama, tetapi kini hanya segelintir yang mampu berbuat demikian. Walaupun manusia memasang alat penghawa dingin di rumah, pejabat dan kereta untuk menghindari kepanasan, tetapi masih terdengar rungutan tentang bahang kepanasan yang melampau. Mengapakah fonomena ini berlaku? Apakah faktor penyumbang kepanasan melampau? Kepanasan melampau berpunca daripada kemarau berpanjangan, kebakaran hutan, penebangan hutan, pencemaran udara dan penipisan ozon.

Kepanasan melampau berlaku disebabkan kemarau yang berpanjangan. Kemarau berpanjangan bermaksud, keadaan panas dan tidak hujan serta berlarutan dalam tempoh yang lama. Apabila keadaan ini berlaku, air menjadi semakin kering, udara menjadi semakin panas dan peningkatan suhu menjadi semakin mendadak. Fenomena ini jelas menyumbang kepada kepanasan melampau.

Selain itu, kepanasan melampau berpunca daripada kebakaran hutan. Kebakaran hutan terjadi akibat kemarau yang berpanjangan, sebagaimana yang pernah berlaku di Indonesia tidak lama dahulu. Kebakaran hutan mengakibatkan keadaan jerebu dan peningkatan suhu persekitaran sehingga membawa kepada kepanasan melampau.

Aktiviti penebangan hutan yang berleluasa merupakan punca kepanasan melampau. Kegiatan pembalakan dilakukan secara meluas dan tidak terkawal kerana kegiatan pembalakan adalah salah satu sumber pendapatan negara. Kegiatan pembalakan mengakibatkan kemusnahan dan kepupusan tumbuhan. Tumbuhan penting dalam ekosistem alam sekitar kerana tumbuhan membebaskan oksigen untuk keperluan manusia. Apabila ditebang, hilanglah sumber oksigen tersebut. Ringkasnya, penebangan hutan mengurangkan sumber oksigen sehingga mengakibatkan peningkatan gas hidrogen. Keadaan ini menyumbang terhadap kepanasan melampau.

Punca seterusnya berlaku kepanasan melampau adalah pencemaran udara. Pencemaran udara berlaku disebabkan pembebasan asap daripada kilang dan kenderaan yang menyumbang terhadap peningkatan suhu. Buktinya, suhu di bandar besar lebih panas daripada suhu di kampung. Hal ini kerana, terdapat banyak kenderaan dan kilang di bandar berbanding di kampung.

Kepanasan melampau juga berpunca daripada penipisan lapisan ozon. Lapisan ozon berfungsi menghalang sinaran ultra ungu daripada menembusi bumi. Penipisan lapisan ozon berlaku, disebabkan pembebasan karbon dioksida ke udara yang mengakibatkan kesan rumah hijau. Penipisan lapisan ozon menyebabkan sinaran ultra ungu yang panas dan membahayakan manusia terpancar ke bumi. Pancaran sinaran ultra ungu ke bumi secara tidak langsung mengakibatkan kepanasan melampau.

Kesimpulannya, kegiatan manusia dilihat sebagai punca utama kepanasan melampau terjadi. Selain itu, kepanasan melampau juga berpunca daripada faktor lain seperti kemarau yang berpanjangan.