Wednesday, October 14, 2009

Punca Kepanasan Melampau

Tajuk: Punca Kepanasan Melampau

Kini, suhu dunia semakin panas. Kita dapat merasakan bahang kepanasan suhu dunia seawal jam lapan pagi dan semakin dirasai menjelang tengah hari. Jika dahulu, manusia mampu bertahan bekerja di bawah sinaran terik matahari dalam tempoh yang lama, tetapi kini hanya segelintir yang mampu berbuat demikian. Walaupun manusia memasang alat penghawa dingin di rumah, pejabat dan kereta untuk menghindari kepanasan, tetapi masih terdengar rungutan tentang bahang kepanasan yang melampau. Mengapakah fonomena ini berlaku? Apakah faktor penyumbang kepanasan melampau? Kepanasan melampau berpunca daripada kemarau berpanjangan, kebakaran hutan, penebangan hutan, pencemaran udara dan penipisan ozon.

Kepanasan melampau berlaku disebabkan kemarau yang berpanjangan. Kemarau berpanjangan bermaksud, keadaan panas dan tidak hujan serta berlarutan dalam tempoh yang lama. Apabila keadaan ini berlaku, air menjadi semakin kering, udara menjadi semakin panas dan peningkatan suhu menjadi semakin mendadak. Fenomena ini jelas menyumbang kepada kepanasan melampau.

Selain itu, kepanasan melampau berpunca daripada kebakaran hutan. Kebakaran hutan terjadi akibat kemarau yang berpanjangan, sebagaimana yang pernah berlaku di Indonesia tidak lama dahulu. Kebakaran hutan mengakibatkan keadaan jerebu dan peningkatan suhu persekitaran sehingga membawa kepada kepanasan melampau.

Aktiviti penebangan hutan yang berleluasa merupakan punca kepanasan melampau. Kegiatan pembalakan dilakukan secara meluas dan tidak terkawal kerana kegiatan pembalakan adalah salah satu sumber pendapatan negara. Kegiatan pembalakan mengakibatkan kemusnahan dan kepupusan tumbuhan. Tumbuhan penting dalam ekosistem alam sekitar kerana tumbuhan membebaskan oksigen untuk keperluan manusia. Apabila ditebang, hilanglah sumber oksigen tersebut. Ringkasnya, penebangan hutan mengurangkan sumber oksigen sehingga mengakibatkan peningkatan gas hidrogen. Keadaan ini menyumbang terhadap kepanasan melampau.

Punca seterusnya berlaku kepanasan melampau adalah pencemaran udara. Pencemaran udara berlaku disebabkan pembebasan asap daripada kilang dan kenderaan yang menyumbang terhadap peningkatan suhu. Buktinya, suhu di bandar besar lebih panas daripada suhu di kampung. Hal ini kerana, terdapat banyak kenderaan dan kilang di bandar berbanding di kampung.

Kepanasan melampau juga berpunca daripada penipisan lapisan ozon. Lapisan ozon berfungsi menghalang sinaran ultra ungu daripada menembusi bumi. Penipisan lapisan ozon berlaku, disebabkan pembebasan karbon dioksida ke udara yang mengakibatkan kesan rumah hijau. Penipisan lapisan ozon menyebabkan sinaran ultra ungu yang panas dan membahayakan manusia terpancar ke bumi. Pancaran sinaran ultra ungu ke bumi secara tidak langsung mengakibatkan kepanasan melampau.

Kesimpulannya, kegiatan manusia dilihat sebagai punca utama kepanasan melampau terjadi. Selain itu, kepanasan melampau juga berpunca daripada faktor lain seperti kemarau yang berpanjangan.

No comments:

Post a Comment

Hanya untuk bertanya lebih lanjut berkaitan perkara yang tidak difahami.